Monday, November 4, 2013



Keropok Terengganu

Terengganu adalah salah satu negeri yang kaya dengan keunikkan budaya, keindahan alam serta keenakan pelbagai makanan tradisional masyarakatnya. Salah satu makanan utamanya adalah keropok. Kedudukan Terengganu di Pantai Timur yang mempunyai pantai terpanjang di Semenanjung Malaysia memberinya kelebihan dari segi kualiti dan kuantiti sumber perikanannya.

Keropok Terengganu yang kaya dengan isi ikan telah menjadi salah satu produk kebanggaan negeri ini. Maka tidak hairanlah jika orang ramai sanggup beratur untuk membelinya seperti yang dilaporkan oleh foursquare.com; Keropok Losong dan di dalam blog cahayakeagungan.com mengenai Keropok Lekor 007. Keropok terbahagi kepada dua jenis iaitu keropok lekor dan keropok kering. Keropok lekor atau keropok batang diperbuat daripada campuran isi ikan laut, sagu dan garam (Wikipedia, 2013). Doh yang tehasil akan diuli dan digentel panjang sebelum di rebus di dalam air mendidih.

Keropok lekor boleh dinikmati dengan pelbagai cara. Masyarakat Terengganu biasanya memakan keropok lekor sebaik sahaja diangkat dari air rebusan, lebih rasa ikan katanya. Namun, ada juga yang lebih gemar ianya digoreng untuk memberi tekstur lebih rangup dan merekah. Merujuk kepada Tourism Terengganu (2013), keropok yang digoreng sesuai untuk mereka yang tidak gemarkan bau ikan yang kuat. Apa sahaja pilihan anda, keropok lekor sememangnya enak dinikmati dalam apa cara sekalipun. Tourism Terengganu (2013) juga mengeluarkan resepi bagi keropok lekor iaitu;
           
Bahan – bahan
            1kg Isi Ikan (Ikan Parang atau Kembong)
            500g Tepung Sagu
            Garam
            125 air
            Ais
            1-2 Daun Pandan

Keropok lekor biasanya tidak sesuai di simpan lama. Pilihan kedua bagi anda adalah keropok kering. Walaupun pelbagai jenis ikan sudah banyak dipasarkan, tetapi keropok kering dari isi ikan parang dan ikan tamban tetap menjadi pilihan. Keropok kering sesuai untuk di simpan lama dan mudah untuk dimakan; anda hanya perlu menggorengnya di dalam minyak panas. Keropok kering sebelum digoreng boleh mengembang sehingga 3 ke 4 kali saiz asalnya selepas digoreng.

Rujukan

Cahayakeagungan. 2013. Keropok Lekor 007 Kuala Ibai. Dipetik daripada http://www.cahayakeagungan.com/2013/06/keropok-lekor-007-kuala-ibai.html [diambil pada 3 November 2013]

Foursquare. 2013. Keropok Losong Adik Beradik. Dipetik daripada https://foursquare.com/v/keropok-losong-adik-beradik/4c4bb93842b4d13a7da20e7f [diambil pada 3 November 2013]
Tourism Terengganu. 2013. Keropok Lekor. Dipetik daripada http://tourism.terengganu.gov.my/index.php?option=com_content&id=378&Itemid=265&lang=en [diambil pada 4 November 2013]

Wikipedia. 2013. Wikipedia Bahasa Melayu. Keropok Lekor. Dipetik daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Keropok_lekor  [diambil pada 4 November 2013]


No comments:

Post a Comment